Tuesday 5 May 2015

Penyusuan Anak Kali Pertama

Menjadi ibu adalah satu pengalaman yang terindah bagi setiap wanita yang berpeluang menempuhnya. Lebih indah lagi jika dapat menyusui bayi comel ini dengan susu ibu sepenuhnya. Namun, dunia penyusuan tidak semudah yang disangka. Jika diri tidak kuat, pastinya kita tidak berupaya melepasi tahap kritikal 6 bulan pertama dan meneruskan penyusuan sehingga bayi berusia 2 tahun.

Saya sendiri pernah gagal dalam penyusuan kerana tidak cukup ilmu semasa kelahiran anak pertama. Dikelilingi sekeliling yang tidak menyokong penyusuan susu ibu secara eksklusif, saya terus gagal dengan mudah sebelum berjuang habis-habisan. Saya tidak menyalahkan sekeliling, kerana saya sendiri tidak berusaha untuk berada dalam golongan yang menyokong penyusuan susu ibu.

Anak pertama saya dilahirkan secara pembedahan di sebuah hospital swasta yang bukan rakan bayi. Oleh kerana keadaan yang masih lemah, bayi saya diletakkan di nurseri dan terus diberikan susu formula. Saya juga dibekalkan beberapa kotak stok susu formula semasa keluar dari hospital. Saya akui, memang saya tidak membuat persediaan awal mencari ilmu tentang penyusuan sebelum menyambut kelahiran anak pertama. Persediaan saya dan suami lebih tertumpu kepada penyediaan barang-barang bayi selepas bayi dilahirkan nanti.

Setelah pulang ke rumah, saya terus memberikan susu formula kepada bayi. Saya cuba untuk menyusu, tetapi masih diselang-selikan dengan susu formula kerana saya rasakan bayi tidak cukup susu. Bayi saya hanya tidur lena setelah disusukan dengan susu formula dan kerap bangun jika menyusu dengan susu ibu. Nampak sangat saya betul-betul kurang ilmu.

Sebulan sebelum masuk kerja, saya cuba untuk mengepam. Disebabkan kurang rangsangan dari hisapan bayi, hasil pengepamn saya adalah amat mengecewakan. Hanya dengan beberapa kali percubaan, saya terus mengalah dengan susu formula. Usaha saya terhenti disitu dan niat saya untuk menyusukan bayi secara eksklusif berhenti disitu. Saya pasrah. Sedikit kecewa terbit dalam hati dan terus memasang niat, seandainya saya diberi peluang olehNya untuk mendapat cahayamata lagi, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan susu ibu secara eksklusif kepada bayi saya nanti.Saya juga memujuk hati dengan meneruskan penyusuan di waktu malam kepada anak sulung saya. Bagi saya, walaupun anak saya tidak menyusu susu ibu sepenuhnya, dia masih merasai nikmat titisan susu ibu. 

Bagaimana saya bermula semula?Akan saya ceritakan dalam entri berikutnya.


No comments:

Post a Comment