Sunday, 17 May 2015

Pam Susu

Cerita tentang pam susu, saya ada beberapa buah pam susu. Bukan berniat nak beli banyak-banyak pam. Tapi mencari yang serasi.

Pam pertama saya adalah pam manual Medela Harmony. Kalau diikutkan, pam ini saya hanya pakai kurang dari lima kali. Pam Medela Harmony ini saya beli secara online sebelum kelahiran anak sulung saya, Nurshasha Humaira. Kenapa saya tak guna? Kesimpulan yang saya dapat buat adalah kurang ilmu. Bila pam susu keluar setakat menitik-nitik, saya simpulkan yang susu saya sikit.Tak mungkin cukup untuk anak saya yang agak besar, lahirnya seberat 3.75kg. Pam ini saya jual kepada isteri seorang teman lama saya dan suami pada harga RM 60.00. Semoga ia masih bermanfaat kepada si pemakainya.

Pam kedua saya adalah Pam Spectra 3. Pam ini saya beli semasa Moms and Baby Expo di Mid Valley sewaktu sarat mengandung anak kedua. Waktu itu memang berkobar-kobar semangat untuk menyusu anak kedua yang bakal dilahirkan. Spectra 3 berkhidmat untuk tempoh yang singkat sahaja.Dalam tempoh berpantang anak kedua saya, motor pam spectra saya dimasuki susu. Maka teruslah dihantar ke pusat servis.Tapi selepas diservis, prestasi pam tersebut tetap mengecewakan.

Semasa pam Spectra diservis,saya nekad membeli pam baru Rumble Tuff Duo. Dari segi prestasi agak tidak mengecewakan.

 


Tip Menyusu Di Tempat Awam

Bayi yang meyusu badan sebenarnya lebih mudah dibawa ke mana-mana. Mana tidaknya, susu bekalan untuknya sentiasa ada.Tips mudah yang boleh anda praktikkan apabila hendak membawa bayi bersama dan menyusukan bayi di tempat awam:

1. Pastikan anda memakai baju berbutang/berzip/bukaan selak dihadapan(nursing friendly). Terdapat banyak pilihan baju yang 'nursing friendly' di pasaran. Ini memudahkan ibu semasa hendak menyusukan bayi. Pilihan di tangan anda. Dengan memakai pakaian jenis ini, anda dapat memastikan aurat anda lebih terjaga sewaktu menyusukan bayi.   

2. Menggunakan 'poncho/ nursing cover'
Sejak kelahiran anak kedua saya, poncho merupakan teman setia saya untuk kemana-mana. Pastikan poncho/nursing cover pilihan anda kain yang menyerap peluh ya.Kesian bayi anda kepanasan waktu menyusu.Cuba bayangkan kalau kita ke kedai makanan yang tiada tingkap?Mesti tak keruan.Makan pun dalam keadaan yang tergesa-gesa,kan?

3. Gunakan pakaian dalam/bra khas untuk menyusu.
Bukan tak boleh memakai pakaian dalam biasa. Tapi lebih mudah,tak perlu nak selak lebih-lebih,aurat pun terjaga.

4. Tudung paras bawah dada/menutup dada (bagi yang bertudung)
Ini sangat membantu bila anda tertinggal poncho/nursing cover kesayangan anda.Masih boleh menyusu seperti biasa, cumer perlu berhati-hati.

Anda ada masalah penyusuan?
Boleh hubungi saya untuk berkongsi sedikit pengalaman dan panduan.
Telefon : 019-3307818
E-mail. : normaslita.din@gmail.com



    

Saturday, 9 May 2015

Belajar Ilmu Penyusuan

Seorang ibu yang ingin menyusukan anak sepenuhnya harus menggali ilmu sebanyak mungkin agar tidak kecundang sebelum terus berjuang. Setiap perjuangan memang ada kalah dan menang.  Tapi, jangan kalah sebelum berjuang.

Pengalaman gagal menyusu sepenuhnya anak pertama banyak mengajar saya untuk terus belajar dan berjinak-jinak dengan dunia penyusuan. Genap anak pertama saya 13 bulan, saya disahkan mengandung lagi. Pelbagai persoalan terbit dalam minda saya bila mendapat berita ini. Gembira, kerana anak saya akan ada kawan baru tetapi sedikit gusar kerana anak pertama saya dilahirkan secara pembedahan. Tetapi alhamdulillah, saya diyakinkan oleh doktor yang merawat saya, bahawa peluang untuk saya bersalin secara normal adalah cerah.

Bermula detik itu, saya mula mencari info berkenaan penyusuan. Semasa kandungan saya 5 bulan, saya menghadiri kelas penyusuan yang dianjurkan oleh seorang pakar laktasi yang terkemuka. Dalam kelas tersebut, saya dapat melihat kegigihan ibu-ibu menyusu mengusung beg menyusu ke sini sana demi sikecil tersayang. Saya nekad, saya akan mengikut jejak mereka bila bayi saya dilahirkan nanti.




Tuesday, 5 May 2015

Penyusuan Anak Kali Pertama

Menjadi ibu adalah satu pengalaman yang terindah bagi setiap wanita yang berpeluang menempuhnya. Lebih indah lagi jika dapat menyusui bayi comel ini dengan susu ibu sepenuhnya. Namun, dunia penyusuan tidak semudah yang disangka. Jika diri tidak kuat, pastinya kita tidak berupaya melepasi tahap kritikal 6 bulan pertama dan meneruskan penyusuan sehingga bayi berusia 2 tahun.

Saya sendiri pernah gagal dalam penyusuan kerana tidak cukup ilmu semasa kelahiran anak pertama. Dikelilingi sekeliling yang tidak menyokong penyusuan susu ibu secara eksklusif, saya terus gagal dengan mudah sebelum berjuang habis-habisan. Saya tidak menyalahkan sekeliling, kerana saya sendiri tidak berusaha untuk berada dalam golongan yang menyokong penyusuan susu ibu.

Anak pertama saya dilahirkan secara pembedahan di sebuah hospital swasta yang bukan rakan bayi. Oleh kerana keadaan yang masih lemah, bayi saya diletakkan di nurseri dan terus diberikan susu formula. Saya juga dibekalkan beberapa kotak stok susu formula semasa keluar dari hospital. Saya akui, memang saya tidak membuat persediaan awal mencari ilmu tentang penyusuan sebelum menyambut kelahiran anak pertama. Persediaan saya dan suami lebih tertumpu kepada penyediaan barang-barang bayi selepas bayi dilahirkan nanti.

Setelah pulang ke rumah, saya terus memberikan susu formula kepada bayi. Saya cuba untuk menyusu, tetapi masih diselang-selikan dengan susu formula kerana saya rasakan bayi tidak cukup susu. Bayi saya hanya tidur lena setelah disusukan dengan susu formula dan kerap bangun jika menyusu dengan susu ibu. Nampak sangat saya betul-betul kurang ilmu.

Sebulan sebelum masuk kerja, saya cuba untuk mengepam. Disebabkan kurang rangsangan dari hisapan bayi, hasil pengepamn saya adalah amat mengecewakan. Hanya dengan beberapa kali percubaan, saya terus mengalah dengan susu formula. Usaha saya terhenti disitu dan niat saya untuk menyusukan bayi secara eksklusif berhenti disitu. Saya pasrah. Sedikit kecewa terbit dalam hati dan terus memasang niat, seandainya saya diberi peluang olehNya untuk mendapat cahayamata lagi, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan susu ibu secara eksklusif kepada bayi saya nanti.Saya juga memujuk hati dengan meneruskan penyusuan di waktu malam kepada anak sulung saya. Bagi saya, walaupun anak saya tidak menyusu susu ibu sepenuhnya, dia masih merasai nikmat titisan susu ibu. 

Bagaimana saya bermula semula?Akan saya ceritakan dalam entri berikutnya.


Cita-cita saya

Semua orang mempunyai cita-cita. Begitu juga dengan saya. Cita-cita saya ingin bergelar WAHM (Working at Home Mother) satu hari nanti. Semasa saya masih di menara gading, saya mempunyai impian yang tinggi. Saya ingin menjadi wanita berkarier walaupun sudah berumahtangga dan menjadi ibu. Alhamdulillah, selepas setahun lebih mendirikan rumahtangga, saya dikurniakan cahayamata pertama. Masih teringat hari pertama saya menghantar sikecil ke rumah pengasuh, bergenang air mata saya kerana mengenangkan si kecil yang baru berusia 61 hari dijaga oleh orang lain. Apakan daya, saya ada tanggungjawab saya sebagai seorang pekerja. Episod sedih terhenti disitu sahaja dan saya masih meneruskan rutin harian ke pejabat seperti biasa.

Hari demi hari berlalu. Dulu hanya seorang, kini saya ibu kepada 3 permata hati. Sedih rasa hati bila 2 org anak saya (seorang lagi masih bayi) yang teresak-esak menangis dikala saya memulakan rutin pagi mereka dengan menghantar mereka ke rumah pengasuh. Anak sulung sudah bersekolah, tetapi selepas jam 12.30, guru tadikanya akan terus menghantarnya ke rumah pengasuh. Bila ada cuti panjang, mereka akan liat untuk kerumah pengasuh keesokan harinya. Kadang-kadang mereka merayu-rayu pada saya untuk tidak dihantar ke rumah pengasuh. Apakan daya, saya masih perlu bekerja untuk membantu meringankan beban suami.

Insyaallah, cita-cita saya tidak akan terhenti di sini. Setiap hari saya berdoa dan memotivasikan diri untuk terus berusaha ke arah 'WAHM'.

Permata hati yang menjadi motivasi untuk saya bergelar WAHM

Saturday, 2 May 2015

Entri Pengenalan~~Secebis Pengenalan Diri & Pertemuan Dengan ABDR



BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM....

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Dengan izin dariNya, terhasil entri pertama saya yang sangat saya sendiri tunggu-tunggu.
Nama diberi oleh kedua ibu bapa tersayang sebagai Normaslita Binti Din. Anak kelahiran Johor Darul Takzim, membesar di Negeri Sembilan Darul Khusus dan kini ibu saya berada di Perak Darul Ridzuan. Ayah saya telah menemui penciptaNya sejak 10 tahun yang lalu. Selepas beberapa tahun belajar dan bekerja di ibu kota Kuala Lumpur, saya kini menjadi penduduk tetap Negeri Sembilan, mengikut suami dan mencari rezeki di bumi Negeri Sembilan demi sesuap nasi untuk kami sekeluarga.

Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga saya dipertemukan dengan ABDR di kala saya tercari-cari medium yang dapat membantu saya memulakan langkah pertama untuk bergelar suri yang berpendapatan satu hari nanti,Insyaallah. Saya mendapat informasi mengenai ABDR melalui perkongsian teman yang hanya dikenali di secara maya di Facebook lebih kurang 3 bulan yang lepas sewaktu saya masih lagi dalam cuti bersalin anak ketiga. Bermula dari situ saya membuat sedikit pembacaan mengenai ABDR dan cuba menghubungi salah seorang guru ABDR, Pn. Zaila Mohamad. Perbualan hanya terhenti di situ kerana saya masih lagi ragu-ragu yang saya dapat memberikan komitmen sepenuhnya untuk menjadi sebahagian dari pelajar ABDR. Maklumlah, sebelum inipun, saya cuba untuk berjinak-jinak dalam dunia perniagaan online, tetapi terpaksa berhenti sementara kerana tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya kepada pekerjaan, hal ehwal rumahtangga dan perniagaan. Namun, setelah kembali bekerja, hati saya meronta ronta untuk mendaftar sebagai pelajar. Hati saya kuat berkata, kalau tidak dipecahkan ruyung ,manakan dapat sagunya. Saya tahu saya perlu bertindak untuk mencapai misi saya iaitu berhenti kerja dan menjadi suri rumah berpendapatan dan dapat membesarkan anak-anak sendiri, tanpa bantuan pengasuh seperti sekarang. Harapan saya semoga ini menjadi langkah permulaan yang tepat untuk saya mencapai misi tersebut.

Agak susah sebenarnya untuk saya menyelesaikan tugasan pertama saya ini, iaitu mencari tajuk blog. Setelah berfikir agak lama, akhirnya saya menulis entri ini dan mendapat idea untuk menulis blog yang berkisarkan penyusuan susu ibu. Dengan terhasilnya blog ini,  akan saya kongsikan sedikit sebanyak coretan pengalaman saya dalam dunia penyusuan susu ibu. Semoga ia sedikit sebanyak dapat membantu para ibu lain yang baru mula ingin berjinak dengan dunia penyusuan dan menjadi asbab kepada orang lain untuk memperjuangkan penyusuan susu ibu secara eksklusif sehingga bayi 6 bulan dan  meneruskan penyusuan sepenuhnya sehingga dua tahun.

Jika anda merupakan ibu menyusu yang mempunyai masalah dalam penyusuan, anda boleh menghubungi saya untuk konsultasi. Insyaallah, saya akan sedaya upaya membantu anda. Saya boleh dihubungi melalui:
Facebook : Mas Maslita
E-mail      : normaslita.din@gmail.com
H/P           : 019-3307818